.

.

Thursday 23 February 2012

Kesuburan menurun - Kesihatan

TEKNOLOGI bantuan konsepsi kini sungguh canggih dalam pengendalian masalah kesuburan yang dialami pasangan. Ia juga baik untuk isteri atau suami serta berkesan dan memberi kemungkinan besar buat mereka menimang cahaya mata.
Jadi mana-mana pasangan kelamin yang mendapati mereka ketinggalan dalam mendapatkan zuriat sedangkan kawan sudah lama menimang anak, perlu berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan kesuburan secara komprehensif dan mendapatkan rawatan sewajarnya.

Mengikut unjuran terbaru mengenai tahap atau kadar kesuburan warga Malaysia, didapati kadar kesuburan warga negara ini menurun secara ketara.

Sepuluh tahun lalu, kadar kesuburan berada pada tahap tiga tetapi kini hanya sebanyak 2.2.


Mungkin, sebab utama yang membuatkan perkara itu berlaku adalah pasangan masa kini gemar berkahwin pada usia lewat 26 tahun (untuk wanita) dan kemudian pasangan itu merancang untuk tidak mendapatkan anak dalam masa terdekat (selepas berkahwin).

Masalah kesuburan atau ‘infertiliti’ kini dikenal pasti sebagai masalah kesihatan dan kini khidmat infertiliti disediakan di semua hospital kerajaan dan swasta.

Paling mustahak ialah pasangan yang mengalami masalah ini berjumpa doktor keluarga atau membuat temujanji berjumpa pakar di klinik fertiliti, hospital kerajaan atau swasta untuk pemeriksaan lanjutan selepas menjalani pemeriksaan asas di klinik keluarga.

Jika ada pasangan yang menjalani pemeriksaan asas kesuburan dan didapati ada masalah sperma, iaitu mempunyai bilangan sperma yang kurang dan sperma kurang aktif, ia sepatutnya dirujuk kepada pakar andrologis untuk mengendalikan masalah kesuburan anda.

Malangnya, negara kita tiada banyak pakar Andrologis (hanya satu yang boleh dikatakan bertauliah sebagai pakar Andrologis), oleh itu masalah anda seakan-akan terbiar tanpa apa-apa rawatan atau nasihat.

Dalam dunia yang serba moden, anda boleh mendapatkan banyak maklumat dalam Internet mengenai masalah berkaitan.

Malah jika anda membaca ruang Sakit Tuan, menerusi akhbar ini atau Harian Metro on-line, anda boleh mendapatkan pelbagai maklumat atau tips kesihatan mengenai kesuburan lelaki dan anda boleh cuba mengamalkannya dan berjumpa doktor berkenaan jika itu yang anda mahu lakukan.

Mungkin untuk permulaan, anda perlu tahu profil sperma tidak sama setiap kali anda melakukan ujian air mani. Anda akan dapat isi padu air mani kurang jika anda cuba mengeluarkannya sendiri dan tidak sama dengan isi padu air mani ketika anda bersetubuh!

Anda perlu tahu kedudukan buah zakar dalam kerandut dan di luar badan. Jika anda memakai pakaian dalam yang ketat atau seluar ketat atau duduk merapat paha untuk jangka masa lama, suhu dalam kerandut meningkat dan ini melemahkan kilang sperma dan sperma itu sendiri.

Merokok, mendedahkan buah zakar di persekitaran panas seperti ‘sauna’, kolam air panas, menggunakan komputer riba di atas riba dan telefon bimbit dalam poket seluar sedikit sebanyak mempengaruhi kedudukan sperma dan boleh merendahkan keaktifan sperma.

Ubat-ubatan tertentu juga boleh melemahkan sperma! Malah, alam persekitaran yang kini berubah juga mempengaruhi kedudukan kualiti sperma. Air dan udara yang tercemar turut memberi banyak kesan negatif kepada lelaki dari wanita.

Obesiti juga mempengaruhi kesuburan lelaki. Jadi anda boleh menggambarkan betapa sukar untuk lelaki zaman ini menjaga kesihatan kesuburannya berbanding lelaki zaman purba!

Saya cadangkan anda teruskan melakukan pemeriksaan dengan doktor dan ikut nasihatnya. Jika mahu mencuba makanan tambahan untuk memantapkan fertiliti, saya syorkan asid folate (dapat membantu memantapkan kualiti sperma) dan zinc (mengukukkan struktur sperma) atau NU-PREP 100 (extrak standard Tongkat Ali) yang diuji kaji dan dapat meningkatkan isi padu sperma, meningkatkan bilangan sperma dan keaktifan sperma.

Nu-Prep 100 jual di mana-mana farmasi Guardian. Saya hanya beri maklumat daripada jurnal perubatan dan bukan sekadar iklan.

Bagaimanapun, anda perlu berwaspada mengamalkan apa-apa ubat atau suplemen yang tidak menjalani kajian klinikal dan kini banyak dalam pasaran.

Paling mustahak ialah untuk anda berjumpa doktor dan terus menerus mendapatkan nasihat daripadanya.

No comments:

Post a Comment