AIR matanya bergenang di Bumi Kenyalang. Sebelum ditemu bual kru Melodi, wajahnya yang cantik dan seceria pelangi itu tiba-tiba bertukar menjadi suram. Insiden ini berlaku The Hills Shopping Centre, Jalan Bukit Mata, Kuching, Ahad lalu.
Nur Fathia Abd Latif, 25, ketika itu berada di Sarawak, Ahad lalu, bagi memenuhi Sesi Peminat Bertemu Finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011).
Ia turut dimeriahkan Aaron Aziz, Fizz Fairuz, Fauzi Nawawi, Hazama dan Tasha Shila termasuk anggota VIP, Fadlan dan Azrel Ismail.
Kenapa Fathia resah dan sebak?
Semuanya gara-gara kelewatan Fathia tiba di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) menyebabkan dia terlepas penerbangan AirAsia yang bertolak jam 8.20 pagi.
Penerbangan itu turut disertai 30 delegasi yang mengikuti acara berkenaan anjuran bersama Berita Harian, Lord’s Tailor, The Hills dan Fullhouse.
“Terus terang saya terlewat bangun kerana terlalu kepenatan habis penggambaran.
Kira-kira jam 2 pagi sebelum bertolak, saya terikat dengan penggambaran drama.
Saya hanya terlelap jam 4 pagi dan terus ‘terbabas’.
“Sejak berapa hari sebelum kejadian itu, saya memang kurang tidur kerana terlalu sibuk dan inilah yang menyebabkan saya jadi terlalu penat. Dibebani rasa bersalah terhadap pihak penganjur, saya menghubungi pegawai publisiti, Bill Bora dan berjanji menghadiri majlis itu dengan mengambil penerbangan lain.
“Saya akhirnya sampai sejam sebelum Sesi Peminat Bertemu ABPBH2011 itu berlangsung. Namun, saya terlepas sesi temubual dengan radio Sarawak FM. Saya juga sudah memohon maaf kepada pihak penganjur.
“Apa yang membuatkan saya hilang kata-kata, resah dan menangis apabila diajukan soalan oleh wartawan Melodi yang bertanya apakah saya tidak rasa bersalah menyusahkan penganjur? Pertanyaan itu turut dikaitkan dengan gosip saya artis tidak berdisiplin.
“Wartawan itu sama sekali tidak bersalah kerana memang saya yang terlewat, tapi saya bimbang hal ini akan menjadi lebih besar. Selepas �beberapa kali tersebar gosip kurang sedap, saya memang menjaga perilaku selain berhati-hati dengan tindak-tanduk saya. Selama bekerja dengan mana-mana produksi, saya menekankan disiplin supaya tidak diperkatakan orang,” katanya.
Mengakui apa yang berlaku di luar kawalannya dan amat dikesali, Fathia enggan hanya kerana satu kesilapan, dia terus dilabel sebagai tidak berdisiplin dan suka menimbulkan masalah.
“Sekali lagi saya ingin meminta maaf kepada Berita Harian dan Lord’s Tailor termasuk semua wartawan dan rakan artis yang mengikuti rombongan� ini kerana menyusahkan mereka. Saya juga berharap peristiwa ini tidak menjadi halangan untuk saya terus aktif sebagai anak seni,” katanya.
Mengenai sambutan cukup hangat yang diterima daripada peminat di Kuching, Fathia berkata, ia sangat mengejutkan.
“Saya mulanya ingatkan tidak ada orang yang kenal saya. Tapi hal sebaliknya berlaku,” katanya yang akrab dengan Tasha Shila yang turut bersaing dalam kategori sama.
No comments:
Post a Comment