Ini adalah antara senario disaksikan sewaktu siri kedua Jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2011) berlangsung selama dua hari di Berjaya Megamall, Kuantan, Pahang, minggu lalu.
Kehadiran artis finalis ABPBH25 ini menarik lebih 8,000 pengunjung, bahkan mencatat sejarah tersendiri apabila artis bukan Melayu, Ang Hui San, 20, menjuarai pertandingan Bintang Idola Berita Harian (BIBH).
Penyanyi wanita ini menyampaikan lagu popular Agnes Monica bertajuk Matahariku untuk mengatasi sembilan peserta lain menyertai pertandingan terbabit dan membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, sijil penyertaan dan barang kemas tajaan Rafflesia bernilai RM5,000.
Apa yang pasti, peminat tidak henti-henti merakam gambar kenangan ramai artis ‘top’ tanah air. Selain itu, acara di Berjaya Megamall ini disertai ramai artis lain seperti Fauzi Nawawi, Diana Danielle, Fizz Fairuz, Adi Putra, Scha Alyahya dan ramai lagi.
Bertema 1Malaysia, pelbagai acara menarik disusun seperti meniru gaya lakonan dan menari bersama artis diserikan dengan gelagat lucu tiga pengacara iaitu Along Raja Lawak bersama dua penyampai HotFm, Faizal Ismail (FBI) dan AG.
Bukan itu saja, kehadiran pengacara nombor satu, Aznil Nawawi membuatkan
suasana riuh-rendah dengan pelbagai gelagat spontan dan pemberian hadiah kepada peminat bertuah.
Kehadiran pelakon Ombak Rindu, Aaron bersama Tasha serta Bintang Popular ABPBH2010, kini hangat membintangi filem Adnan Sempit 2, Shaheizy Sam dan Yana Shamsuddin mencetuskan suasana paling hangat hinggakan pengunjung membanjiri setiap tingkat pusat beli-belah terbabit.
Selain itu, jelajah Kuantan turut diserikan dengan acara persembahan nyanyian artis popular baru seperti Awi Rafael yang melonjak dengan lagu Bila Aku Jatuh Cinta dan Pulanglah.
Dengan gaya ‘low-profile’, Aizat tidak ketinggalan menceriakan peminat bermain gitar membawa lagu Jerrypah. Kelibat Black membawa lagu Sofia Jane menyebabkan peminat menyanyi sama.
Dengan menampilkan tarian ‘freestyle’ 1Malaysia, Fauzi dan Diana membuat peminat meniru lenggok mereka sementara pengunjung tidak melepaskan kesempatan bersalaman dan bergambar bersama Adi Putra dan Scha Alyahya.
Dengan penampilan kasual, Fizz dan Izara Aisyah menghiburkan peminat dengan segmen ‘menyapu’ syampu rambut Lux sebelum kumpulan remaja meningkat naik, Forteen menyemarakkan suasana dengan lagu mereka berjudul Berdua Bersatu.
Beberapa finalis artis solo dan berkumpulan finalis tidak ketinggalan menghiburkan peminat dengan lagu popular masing-masing.
Penyanyi tinggi lampai, Shila Amzah menyanyikan lagu baru, Patah Seribu dan lagu cover Adele bertajuk Set Fire To The Rain.
Tampil dengan vokalis kolaborasi bersama Shah AF, kumpulan Meet Uncle Hussain menyampaikan tiga lagu bertajuk Dramaking, Lagu Untukmu dan Pokok.
Fauzi yang berada dalam Top 5 Pelakon TV Popular Lelaki berkata, dia berasa bertuah berada dalam jelajah ABPBH tahun ini.
“Biasanya lebih banyak mengikuti jelajah filem. Sambutan diberikan peminat di Kuantan sangat menggalakkan.
“Peluang seperti ini jarang didapati dan menjadi kesempatan terbaik bertemu peminat yang biasa menyaksikan lakonan kami di televisyen saja. Apapun, saya berterima kasih kepada semua peminat kerana memberi sokongan padu dengan bersusah-payah datang di sini,” katanya.
Scha yang kini dalam tahun ketiga dalam finalis ABPBH berkata: “Saya cuba kembali berlakon dengan konsisten tahun ini. Ini kerana ibu kurang sihat sekarang semakin pulih dan saya fokus terhadap lakonan drama dan filem sepanjang tahun ini,” katanya yang tersenarai sebagai finalis Pelakon TV Wanita Popular.
Aaron yang jelas menjadi tarikan utama pada acara ini berkata:”Saya cuba memberikan apa yang terbaik kerana peminat meletak harapan tinggi. Apa saya pentingkan adalah lakonan mantap diterima dengan baik dan menggembirakan penonton,” katanya.
Jelajah ABPBH ketiga akan berlangsung di Dataran Pahlawan, Melaka pada 10 dan 11 Mac ini.
No comments:
Post a Comment