.

.

Monday, 12 March 2012

Datuk Siti Nurhaliza - Tak dibayar RM500,000





BUKAN mudah buat figura Datuk Siti Nurhaliza menempa kejayaan seperti yang diraih sekarang. Banyak cabaran dan rintangan yang harus dilalui dalam usaha untuk meletakkan dirinya sebagai penyanyi pujaan ramai.

Menariknya, dia bukan sahaja telah berhasil mencipta nama dalam dunia nyanyian. Kini, dia sudah melangkah setapak lagi apabila sudah bergelar sebagai seorang ahli perniagaan menerusi produk kecantikan SimplySiti.

Menurut penyanyi yang mula mencipta nama menerusi lagu berjudul Jerat Percintaan itu, segala kejayaan yang diraih hasil usaha kerasnya selama ini semata-mata mahu mengejar impian untuk menjadi penyanyi yang berjaya.

"Saya sangat bersyukur kerana segala penat lelah untuk berada pada kedudukan sekarang ini ternyata berbaloi. Selama 17 tahun membabitkan diri dalam dunia muzik saya berpuas hati dengan apa yang telah dikecapi sekarang.

"Bagi saya, kejayaan yang diraih ini bukan hasil usaha saya seorang, tetapi tidak lupa juga kepada para peminat yang telah banyak memberikan sokongan," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Minggu Setiausaha di Johor Bahru baru-baru ini.

Sesuai dengan kedudukannya pada hari ini, tiba-tiba ada khabar angin yang mengatakan penyanyi berkenaan telah mendapat bayaran yang mencecah RM500,000 ketika menjayakan sebuah persembahan di Singapura pada akhir tahun lalu.

Bagaimanapun, penyanyi berkenaan pantas menafikan dia menerima jumlah bayaran yang sangat lumayan sebaliknya menegaskan bahawa bayaran yang diterima untuk menjayakan acara tersebut adalah setimpal dengan persembahan yang dilakukan.

"Saya sendiri hairan dengan dakwaan yang mengatakan saya telah dibayar dengan jumlah yang sangat lumayan sehingga mencecah angka setengah juta ringgit untuk persembahan selama 30 minit di Singapura dan sudah tentu ia tidak benar sama sekali.

"Tidak semestinya dengan kedudukan sekarang ini, saya sewenang-wenangnya meletakkan harga yang terlalu tinggi. Saya bersyukur kerana bayaran yang diterima sepanjang membuat persembahan di merata-rata tempat sudah berbaloi, walaupun tidak terlalu lumayan seperti yang diperkatakan," ujarnya.

SITI dan suami, Datuk Khalid Mohd. Jiwa bersama dua anak bujang mereka, Adib (kanan) dan Ashraf.



Menurut Siti, sebagai membalas jasa para peminat yang sentiasa memberikan sokongan, dia juga tidak menolak kemungkinan untuk kembali mengadakan persembahan di pentas terbuka secara percuma seperti siri konsert jelajah Malaysia yang pernah dilakukannya 11 tahun yang lalu.

Sementara itu, ketika ditanya tentang perkembangan album Inggeris sulungnya yang berjudul All Your Love, Siti memberitahu dia sangat berpuas hati kerana album tersebut mendapat sambutan yang hangat daripada peminat.

Bercerita lebih lanjut tentang salah sebuah lagu yang terkandung di dalam album berkenaan berjudul Remember You yang dinyanyikan secara duet bersama Sean Kingston, dia sudah merancang untuk menghasilkan klip video lagu tersebut.
"Buat masa ini saya sedang mencari masa yang sesuai dan tidak mustahil klip video ini akan dihasilkan di Amerika Syarikat kerana kalau boleh saya ingin Sean Kingston turut terlibat dalam pembikinannya nanti," ujarnya.


Pangsapuri mewah
Mengenai pembelian pangsapuri mewah berharga kira-kira RM1 juta seunit yang terletak di Melbourne, Australia itu, penyanyi berkenaan memberitahu dia sudah pun membelinya setelah mendapat harga yang istimewa daripada pihak pemaju.

"Memang saya ada menghadiri majlis pelancaran projek pembangunan pangsapuri The Istana baru-baru ini di Kuala Lumpur. Malah, saya telah berminat untuk membeli salah sebuah unit kediaman di pangsapuri tersebut.

"Tujuan saya membeli unit kediaman berkenaan lebih kepada satu pelaburan untuk jangka masa panjang memandangkan lokasinya yang sangat strategik iaitu di kawasan pusat perniagaan di Melbourne," ujarnya.

Menurutnya lagi, selain untuk pelaburan, ia juga boleh dijadikan sebagai satu kemudahan untuk anak-anak tirinya yang menyambung pelajaran di Australia dapat menetap di kediaman sendiri berbanding menyewa rumah dengan kadar sewa yang tinggi.


Minggu Setiausaha
Boleh dikatakan Siti Nurhaliza merupakan antara penyanyi yang kerap mendapat tawaran membuat persembahan pada Minggu Setiausaha yang selalu berlangsung pada bulan April setiap tahun.
Jika sebelum ini penyanyi berkenaan lebih kerap menghiburkan para setiausaha di sekitar Kuala Lumpur, pada kali ini, buat julung-julung kalinya Siti akan mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha di Johor Bahru pada bulan hadapan.

Dianjurkan oleh Persada Johor, persembahan yang akan berlangsung pada 10 April ini akan diadakan di Dewan Tanjung Puteri, Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor bermula pada pukul 12.30 tengah hari.
"Ini merupakan kali pertama saya bakal menjayakan sebuah persembahan sempena Minggu Setiausaha di Johor dan pastinya saya sangat teruja untuk menghiburkan setiausaha yang bekerja di negeri itu.

SITI bergambar di poster wajahnya sempena Minggu Setiausaha Bersama Datuk Siti Nurhaliza, di Johor Bahru yang akan diadakan pada 10 April ini.



"Bagaimanapun, saya juga berharap agar kehadiran saya di negeri Johor akan turut menarik minat warga Singapura untuk bersama-sama memeriahkan lagi persembahan yang akan diadakan nanti," ujarnya.

Mengenai konsep persembahan pula, Siti menjelaskan setakat ini belum ada keputusan muktamad yang dibuat, tetapi berkemungkinan besar persembahannya nanti akan diiringi oleh pemuzik Aubrey Suwito.

Menurutnya, dengan tema Black And Red yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur, penyanyi tersebut akan cuba memikirkan konsep persembahan yang lebih elegan dan menarik.
Sementara itu, Timbalan Ketua Eksekutif Johor Corporatian (Jcorp) Hotel dan Resort, Mohamad Mazlan Ali berkata, dewan tempat berlangsung persembahan nanti mampu memuatkan kira-kira 1,500 tetamu atau 150 meja dan tetamu akan disajikan dengan hidangan makanan Barat.
"Para tetamu yang hadir nanti bukan sahaja dihiburkan dengan persembahan oleh Siti Nurhaliza, malah mereka berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah yang menarik untuk dibawa pulang menerusi cabutan bertuah," ujarnya.

Bagi yang berminat untuk hadir pada persembahan Minggu Setiausaha Bersama Datuk Siti Nurhaliza, mereka boleh melayari laman sesawang www.persadajohor.com atau menghubungi talian 013-777 8048 dan 019-756 6905 untuk membuat tempahan meja.

No comments:

Post a Comment