BEIRUT - Satu serangan roket yang dilancarkan dari Lebanon menyebabkan dua anggota polis sempadan Syria cedera semalam.
"Menjelang subuh, beberapa lelaki bersenjata melancarkan serangan
roket dari Buqaya di wilayah Lebanon ke arah Syria dan mengenai sebuah
pos imigresen Syria serta mencederakan dua anggota polis pengawal
sempadan," menurut satu kenyataan daripada agensi Keselamatan Awam
Lebanon.
Ia merupakan laporan pertama yang pernah diketahui tentang serangan roket dari negara tersebut.
Menurut kenyataan tersebut, ketika anggota-anggota polis sempadan
Syria mengejar lelaki bersenjata tersebut, satu serangan roket itu
dilancarkan.
Lelaki-lelaki bersenjata yang melancarkan serangan tersebut berjaya melarikan diri.
Sementara itu, kerajaan Arab Saudi meminta rakyatnya tidak berkunjung
ke Lebanon ekoran kebimbangan berhubung keadaan keselamatan di negara
berkenaan disebabkan pergolakan antara negara tersebut dengan Syria.
Arab Saudi menyertai beberapa negara Teluk lain termasuk Bahrain,
Qatar dan Emiriah Arab Bersatu dalam menasihati rakyat mereka supaya
menjauhi Lebanon.
Negara berkenaan menyaksikan beberapa kejadian pertempuran jalanan
yang berlaku pada awal tahun ini yang didorong oleh kebangkitan rakyat
di Syria.
"Ekoran situasi tidak menentu di Lebanon sekarang ini, Kementerian
Luar memberi amaran kepada rakyat Arab Saudi agar tidak berkunjung ke
Lebanon demi keselamatan mereka," kata seorang pegawai kementerian
berkenaan yang dipetik agensi berita rasmi SPA.
Negara Teluk Arab terutamanya Arab Saudi dan Qatar dilihat menyokong
kebangkitan antipemerintah di Syria dengan membayar gaji askar
pemberontak di negara itu dan menggesa supaya pihak penentang Presiden
Syria, Bashar Al-Assad dilengkapi senjata.
Sebelum ini, ramai pelancong rantau Teluk Arab melawat Lebanon
terutamanya pada musim panas sekali gus membantu meningkatkan ekonomi
negara itu yang terjejas teruk akibat pergolakan di Syria.
Kumpulan penyokong dan penentang Bashar sebelum ini bertempur di
bandar pelabuhan Tripoli dengan kawasan sempadan Lebanon turut digunakan
oleh pemberontak untuk menyeludup senjata ke Syria.
Arab Saudi turut meminta masyarakat antarabangsa supaya mengambil "tindakan tegas" bagi menamatkan pertumpahan darah di Syria.
"Arab Saudi meminta masyarakat antarabangsa mengambil langkah tegas
bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai (penduduk Syria), kata
kerajaan seperti yang dilaporkan agensi berita rasmi SPA.
Kenyataan tersebut disiarkan selepas satu mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah.
Gesaan tersebut dibuat ketika beberapa helikopter tempur Syria
mengebom beberapa kawasan di pinggir ibu kota Syria, Damsyik semalam.
Pada masa yang sama, Turki menyatakan pihaknya mengerahkan beberapa jet pejuang ke kawasan sempadan di utara negara itu.
Tindakan tersebut dibuat ketika konflik selama 16 bulan di Syria
menjadi semakin ganas dengan usaha diplomasi dilihat menemui kegagalan.
Pertempuran kini sampai ke pinggir bandar raya Damsyik sejak beberapa
minggu lalu dan turut sengit di seluruh Syria ekoran perjuangan untuk
menjatuhkan Bashar kini memasuki fasa perang saudara. - Agensi
No comments:
Post a Comment