.

.

Saturday 12 May 2012

Vokalis Against Me! tukar jantina


Vokalis kumpulan punk rock Against! Me, Tom Gabel ingin menukar jantina dan mempunyai perancangan untuk hidup sebagai seorang wanita selepas ini.

Bercakap dalam isu terbaru majalah Rolling Stone, Gabel yang masih akan menggunakan nama barunya, Laura Jane Grace bakal melalui rawatan elektrolisis dan mengambil hormon sebagai satu langkah untuk perubahan daripada seorang lelaki kepada wanita.

Gabel yang sudah lama berhadapan dengan krisis jantina memberitahu dia bimbang jika isterinya, Heather, tidak dapat menerima keputusannya itu.

"Apa yang menakutkan adalah bagaimana reaksi dirinya. Walaubagaimanapun dia dapat menerima keputusan saya dengan baik dan memahami serta memberi sokongan," jelas Gabel yang turut memberitahu perkahwinannya masih akan kekal.

Terdahulu, vokalis berusia 31 tahun ini telah memberitahu ahli keluarga dan beberapa rakan tentang perubahan tersebut sebelum membuat keputusan untuk mengumumkan kepada umum.
"Saya pasti akan melalui beberapa situasi yang memalukan dan ia bukanlah sesuatu yang menggembirakan. Namun itulah tujuan saya berterus-terang, berharap mereka akan memahami dan tidak memandang serong," katanya lagi.

Walaupun Gabel adalah vokalis kumpulan rock pertama yang bakal melalui pertukaran jantina, namun dia bukanlah selebriti pertama yang melakukannya. Sebelum ini Larry Wachowski, salah seorang daripada adik-beradik Wachowski yang mengarah trilogi "Matrix" telah dikredit sebagai Lana dalam hasil kerjanya baru-baru ini. Selain daripada itu, anak perempuan kepada penyanyi Cher dan Sonny Bono, Chaz Bono yang terkenal dengan penyertaannya dalam siri televisyen realiti, "Dancing With The Stars" telah melalui transformasi sebagai lelaki sekitar tahun 2008 dan 2010.

No comments:

Post a Comment