.

.

Saturday 12 May 2012

Konsert Lady Gaga di Indonesia dibantah


11 Mei – Selepas berdepan dengan kumpulan Kristian yang memprotes konsert siri jelajah dunia Born This Way Ball di Seoul, Korea Selatan, kini Lady Gaga bakal melalui perkara yang sama apabila dia bakal mengadakan konsert sulungnya di negara jiran, Indonesia pada 3 Jun akan datang.
Konsert penyanyi "Bad Romance" ini telah mendapat bantahan daripada kumpulan Islam yang menganggap lirik lagu yang dinyanyikannya mempunyai unsur-unsur ajaran sesat serta memuja syaitan.

Seorang jurucakap Pembela Agama Islam (FPI) memberitahu The Wall Street Journal bahawa Gaga telah menghina semua agama.

"Dia sedang mempromosi pemujaan syaitan. Dia menghina semua agama. Malah Kristian di Korea juga turut membantah kehadirannya."

Sementara itu, Ketua Pembela Agama Islam, Rizieq Shihab telah memberi amaran kepada penyanyi tersebut bahawa kekacauan akan berlaku sekiranya konsert tidak dibatalkan, seperti dipetik daripada laporan The Jakarta Post.

"Kami akan menghalangnya daripada menjejak kaki ke negara kami. Jangan sebarkan kepercayaan syaitan yang dipegangnya itu kepada negara kami.
"Stail dan cara pemakaiannya yang menjolok mata akan menghancurkan moral anak muda di sini. Dia sangat merbahaya," ujar Rizieq.

Walaubagaimanapun sehingga kini, konsert tersebut masih lagi akan diteruskan seperti yang dijadualkan.

Selepas mengadakan konsert di Hong Kong dan juga Tokyo selama tiga malam, Gaga dijadualkan meneruskan siri jelajah tersebut di Taipei, Manila, Bangkok dan juga Singapura dan dilaporkan tiket-tiket sudah laris dijual.

Dalam perkembangan lain, cawan teh berwarna biru dan putih yang digunakan oleh Gaga telah dilelong dengan harga AS$75,000 (RM230,000) di Jepun, di mana hasil lelongan tersebut akan disalurkan bagi membantu artis tempatan Jepun yang terjejas ketika bencana tsunami tahun lalu.

No comments:

Post a Comment